Minggu Solidariti Palestin: Aktiviti & Pelaksanaan Di Sekolah KPM

PELAKSANAAN MINGGU SOLIDARITI PALESTIN DI INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyahut pendirian kerajaan Malaysia untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin. Sokongan ini adalah satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.

Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Minggu Solidariti Palestin untuk mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.

Pelbagai aktiviti menarik bakal dilaksanakan sepanjang Minggu Solidariti Palestin peringkat sekolah mahupun institusi lain di bawah KPM. Tidak lain tidak bukan tujuannya sebagai tanda kebersamaan semua murid serta seluruh warga sekolah dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin mempertahankan hak mereka.

Apakah Minggu Minggu Solidariti Palestin?

Minggu Solidariti Palestin merupakan program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia merupakan kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam Pendidikan Sivik di sekolah. 

Selain itu, menerusi penganjuran program ini murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global.

Program ini bertujuan mendidik murid-murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan. Ini termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Tarikh Pelaksanaan & Institusi Yang Terlibat

Minggu Solidariti Palestin anjuran KPM bermula pada 29 Oktober hingga 3 November 2023. 

Program ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara.

Aktiviti Yang Dianjurkan

Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program ini dan akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat. Aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan sepanjang minggu tersebut adalah seperti yang berikut:

  • Pelancaran Minggu Solidariti Palestin peringkat sekolah dalam perhimpunan pagi;
  • Pelancaran tabung kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin;
  • Tayangan video dan memperdengarkan lagu yang bersesuaian dengan isu kemanusiaan di Palestin;
  • Pelaksanaan aktiviti kerohanian yang melibatkan murid Islam seperti solat hajat dan bermunajat;
  • Pelaksanaan aktiviti kokurikulum khas berkaitan isu kemanusiaan di Palestin seperti pertandingan ciptaan lagu, sajak dan poster; serta
  • Aktiviti lain yang bersesuaian.

Aktiviti Yang Dilarang

Sepanjang program ini dilaksanakan, aktiviti yang dilarang adalah aktiviti yang tidak melibatkan unsur bersifat negatif dan ekstrem.

Contoh larangan aktiviti yang tidak dibenarkan adalah seperti;

  • membawa senjata berbahaya,
  • penggunaan replika senjata,
  • ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi,
  • dan seumpamanya

Siaran Media dan Surat Edaran

  • KM_KPM_Pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin Di Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia_page-0001
  • KM_KPM_Pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin Di Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia_page-0002
  • Surat_Makluman_Pelaksanaan_Minggu_Solidariti_Pales_231025_193703_page-0001
Larangan Unsur Ekstremisme dan Keganasan KPM

The post Minggu Solidariti Palestin: Aktiviti & Pelaksanaan Di Sekolah KPM appeared first on Info Terkini Bantuan.



LihatTutupKomentar