Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP Ambilan Tahun 2023

Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP

Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP Ambilan Tahun 2023. Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan tawaran Biasiswa Perguruan Persekutuan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Ambilan Tahun 2023 bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian pendidikan di tahun pertama atau tahun kedua di Universiti Awam dalam bidang yang telah ditetapkan akan dibuka secara dalam talian (online).

Bagi ambilan tahun 2023, terdapat 18 bidang pendidikan yang layak dipohon antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan dan lain-lain lagi.

Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP ini terbuka kepada semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang berkelayakan bagi Universiti Awam sahaja.

Tempoh Permohonan

Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 24 Mac 2023 (Jumaat), pukul 5:00 petang hingga 21 April 2023 (Jumaat), pukul 5:00 petang.

Permohonan yang diterima selepas tarikh yang dinyatakan tidak akan dipertimbangkan.

Pemohon dipohon untuk merujuk kepada portal rasmi KPM bagi sebarang pemakluman terkini.

Cara Permohonan

Calon yang memenuhi syarat kelayakan boleh memohon secara dalam talian (online) melalui pautan https://epenawaran.moe.gov.my/ijazah1/login.cfm
  1. Pemohon perlu mendaftarkan Nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan pada tab PERMOHONAN BAHARU. Kata laluan yang digunakan hendaklah 8 – 12 aksara dan mematuhi syarat kata laluan yang telah ditetapkan.
  2. Sila pastikan maklumat dikunci masuk dengan tepat. Maklumat ini tidak boleh dipinda selepas pendaftaran.
  3. Tekan MASUK untuk melengkapkan permohonan.
  4. Maklumat pendaftaran permohonan hendaklah disimpan dengan baik bagi tujuan rujukan/kemas kini.

Sebagai peringatan, pemohon WAJIB memuat turun dan menyimpan/mencetak Slip Pengesahan Penghantaran Permohonan sebagai bukti permohonan dan rujukan pada masa akan datang.

Untuk panduan khusus permohonan sila lihat pautan berikut;
https://epenawaran.moe.gov.my/ijazah1/image/PANDUAN.pdf

Syarat-Syarat Permohonan

Berikut adalah syarat-syarat permohonan Biasiswa Perguruan Persekutuan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kementerian Pendidikan Malaysia Ambilan tahun 2023;
  • Calon mestilah Warganegara Malaysia;
  • Umur calon tidak melebihi 25 tahun pada 1 Januari 2023 (tahun permohonan);
  • Calon memiliki Sijil Penuh bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan lantikan ke perkhidmatan awam termasuk kepujian dalam Bahasa Melayu dan Ujian Lisan pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan;
  • Calon sedang mengikuti pengajian di semester 2 dan 3 bagi 3 tahun pengajian dan semester 2 hingga 4 bagi 4 tahun pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan seperti bidang di bawah serta perlu mendapat sekurang- kurangnya PNGK 3.50 dan ke atas bagi keputusan semester terkini;
  • Penawaran biasiswa ISMP ini tidak terhad kepada pelajar daripada Fakulti Pendidikan, tetapi turut dibuka kepada semua pelajar dari Fakulti lain sekiranya ijazah yang bakal diperoleh adalah dengan pendidikan;
  • Biasiswa hanya akan ditawarkan kepada calon yang mengikuti pengajian dalam bidang kursus major sahaja kecuali bagi calon yang mengikuti kursus minor bagi bidang Teknologi Automotif;
  • Bagi calon Bidang Bahasa Inggeris, calon perlu mendapat kelayakan minimum Band 5 bagi keputusan ujian Malaysia University English Test (MUET) atau minimum Band C1 bagi keputusan ujian merujuk kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) seperti di Lampiran A;
  • Bagi calon Bidang Dini, calon perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Arab DAN wajib mengemukakan dokumen berkaitan seperti salinan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)/ Sijil Menengah Agama (SMA)/ Sijil Menengah Ugama (SMU) atau mana-mana dokumen yang boleh menyokong kemahiran bahasa untuk memohon;
  • Bagi calon yang mengambil jurusan teknikal dan vokasional, calon boleh mengemukakan dokumen berkaitan seperti salinan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma dalam bidang TVET (sekiranya ada);
  • Calon yang berkelayakan dan memenuhi syarat sahaja akan dipanggil untuk menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru (e-UKCG) secara dalam talian dan penilaian video pembentangan oleh panel yang dilantik;
  • Calon yang berjaya ditawarkan Biasiswa KPM perlu melepaskan tajaan atau pembiayaan pelajaran yang sedia ada; dan
  • Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) adalah tidak layak memohon.

Bidang-bidang Pendidikan Yang Layak Dimohon

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Bahasa Cina
  • Bahasa Tamil
  • Pendidikan Islam
  • Dini
  • Sains
  • Matematik
  • Sejarah
  • Geografi
  • Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan
  • Pendidikan Seni Visual
  • Pendidikan Khas
  • Bimbingan Dan Kaunseling
  • Reka Bentuk Dan Teknologi
  • Teknologi Elektrik
  • Teknologi Automotif
  • Teknologi Kimpalan

Untuk perincian setiap bidang, sila lihat melalui pautan berikut;
https://epenawaran.moe.gov.my/ijazah1/image/SYARAT.pdf

Senarai Universiti Awam Yang Terlibat Bagi Biasiswa Perguruan Persekutuan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ismp)Di Universiti Awam Tahun 2023

  • Universiti Islam Antarabangsa (UIAM),
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
  • Universiti Malaya (UM),
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS),
  • Universiti Putra Malaysia (UPM),
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
  • Universiti Sains Malaysia (USM),
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM),
  • Universiti Teknologi Mara (UiTM),
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); dan
  • Universiti Utara Malaysia (UUM).
  • Info lanjut dan Pertanyaan

Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui e-mel ismp.bt@moe.gov.my atau hubungi di talian 03-83217113/7138/7157/7136/7159

Sumber: Portal Biasiswa Perguruan Persekutuan ISMP, Kementerian Pendidikan Malaysia
LihatTutupKomentar